Monday, 11 September 2017

Lana Nordin Dan Keluarga Sedondon di tengah kota Chicago

Lana Nordin Dan Keluarga Sedondon di tengah kota Chicago

Kesedihan hati pelakon Lana Nodin tidak dapat menyambut Aidladha di samping keluarga, sedikit terubat apabila suaminya mencadangkan mereka menggayakan baju kebangsaan di tengah-tengah bandar Chicago, Amerika Syarikat (AS).
Lana kini mengikut suaminya, David McKienzie pulang ke AS bagi membolehkan dia menyertai beberapa siri pertandingan bola tampar. Pada Aidiladha lalu, Lana menemani suaminya ke Chicago.
Katanya, David ke Chicago menyertai kejohanan bola tampar dan pada sebelah malamnya mereka menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan.



“Walaupun dikelilingi suami dan anak, kesedihan menyambut hari raya di perantauan tidak dapat disembunyikan.
“Mungkin kesedihan itu tidak berapa dirasai andai saya dapat memasak dan menyediakan juadah hari raya di rumah kami di California.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat berbuat demikian kerana beberapa hari sebelum hari raya haji kami sekeluarga bertolak ke Chicago,” katanya.
Kata Lana, dia terkejut apabila suaminya mencadangkan mereka menggayakan baju kebangsaan pada malam itu.
“Sebenarnya baju yang kami pakai adalah koleksi ketika menyambut Aidilfitri lalu. Bagaimanapun ketika itu saya sekeluarga berada di Kuala Lumpur pada Syawal pertama saja dan selepas itu harus pulang ke California.
“Kalau hendak diikutkan, ada tiga pasang lagi baju raya yang kami belum pakai. Waktu itu saya tanya David agaknya bila kita dapat pakai lagi baju raya yang ditempah itu. Katanya, bawa saja pulang ke AS,” katanya.
Lana akui terkejut apabila suaminya mencadangkan mereka memakai baju kurung dan baju Melayu yang belum pernah dipakai ketika menghadiri majlis makan malam sempena penyertaan di pertandingan bola tampar itu.
“Saya terharu suami memberi cadangan itu. Saya yang pada mulanya berasa murung sepanjang hari kerana tidak dapat menyambut Aidiladha, terus berubah gembira,” katanya.
Gambar Lana bersama suami dan anaknya, Gia Quinn Mckienzie berbaju kurung dan baju Melayu di tengah-tengah bandar raya Chicago dimuat naik di laman sosialnya menarik perhatian peminat.
Kata Lana, dia tidak menafikan kehadirannya sekeluarga menggayakan baju kebangsaan di majlis makan malam itu membuatkan mereka menjadi perhatian.
“Ramai tetamu tersenyum memandang kami dan tidak kurang juga bertanya fesyen apa yang kami pakai. Tambah pula warna sedondon dan David sendiri menerangkan kepada mereka mengenai baju kebangsaan sambutan Aidiladha yang sepatutnya kami sambut,” katanya.
Alang-alang berada di tengah-tengah kota Chicago dan berbaju kebangsaan, Lana akui dia dan David mahu merakamkan gambar dan aksi mereka sebagai kenangan.
“Mujur cuaca di waktu malam sewaktu kami bergambar itu tidak terlalu sejuk hanya 18 darjah Celsius. Gia sudah biasa dengan cuaca sedemikian, jadi dia okey saja walaupun hanya berbaju kurung dan bergambar di tengah-tengah bandar Chicago.
“Kebetulan hotel tempat kami menginap dan lokasi majlis makan malam hanya beberapa blok dengan berjalan kaki,” katanya.
Terbit program memasak
Lana yang kini aktif berniaga dan menyertai bazar di negara jiran Singapura gembira kerana akan pulang ke tanah air minggu depan bagi membolehkan dia menyertai bazar pada 17 September dan Brunei pada 2 Oktober.
Lebih menggembirakan Lana kerana selepas itu dia akan berada di Kuala Lumpur sehingga akhir tahun.
Katanya, dalam tempoh itu dia tidak terikat dengan apa-apa aktiviti. Andai ada mana-mana produksi drama mahupun filem yang mahu mempelawanya membintangi karya dihasilkan, dia sangat berbesar hati.
“Mereka boleh hubungi saya. Dalam waktu sama, saya dan David bercadang membuka produksi sendiri. Sebelum ini banyak proposal yang diberikan kepada stesen TV tetapi mereka tidak berminat untuk saya menghasilkan drama.
“Apa yang mengejutkan, mereka mahu kami menghasilkan program masakan. Alasan diberi, berdasarkan komen diterima daripada peminat yang mengikuti laman Instagram saya, umum suka melihat saya memasak di dapur.
“Memang saya sering berkongsi aktiviti di rumah menyediakan makanan tengah hari atau malam untuk keluarga tetapi tidak sangka ia menarik perhatian mereka.
“Saya juga sering menghasilkan masakan dan kuih-muih tradisi. Cadangan yang diberikan mereka itu sedang saya pertimbangkan,” katanya.

No comments: