Bukan mudah untuk berpisah selamanya dengan suami yang kita cintai. Lebih sedih pemergiannya secara mengejut. Suami yang sihat tiba-tiba meninggalkan kita dan anak-anak tanpa pesan.

Inilah yang berlaku kepada Rokitah Jusoh. Sama sekali Rokitah tidak menduga. Niat suami yang membawanya bersiar-siar melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 dan keluar di susur Durian Mentagau, Dungun selepas menghantar anak balik ke asrama berakhir dengan tragedi pahit.

Pertembungan dengan sebuah kereta yang dipandu seorang pemuda yang berada di bawah pengaruh dadah dan menaiki kenderaan curi mengakibatkan suaminya, Mohd Jefri bin Ibrahim, 44 maut sehari selepas kemalangan sekali gus menjadikan sambutan hari raya tahun lalu bagi keluarganya dipenuhi dengan kesedihan.

Ciuman Terakhir

Lebih menyayat hati, dengan tulang pinggul patah, diikuti bahu, kedua belah tangan dan lain-lain kecederaan, Rokitah disorong menaiki troli bagi membolehkan dirinya mencium arwah suami buat kali terakhir di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu kala umat Islam berpuasa pada hari ke-14.

Jelasnya, tarikh 18 Jun 2016, akan terus melekat dalam memorinya sampai bila-bila.

Pada tarikh itulah kemalangan berlaku dan arwah suaminya maut sehari kemudian manakala dia masih lagi perlu menjalani fisioterapi biarpun peristiwa menyayat hati itu sudah enam bulan berlalu.


"Saya minta katil kami dirapatkan. Dengan tulang pinggul patah selain bahu dan tangan, saya cium arwah suami buat kali terakhir. Saya berkeras mahu menatap wajahnya kerana saya tahu, ini saja peluang terakhir bertemunya.

Kami hidup bersama  hampir 20 tahun lamanya dan sama-sama membina impian ke alam syurga tapi kerana kecuaian orang lain, keindahan dunia ini terhenti," luah Rokitah Jusoh.

Sebelum kemalangan, kata Rokitah, dia nampak kereta dari arah hadapan dipandu terhoyong-hayang. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan dan memasuki laluan orang lain.

Saya tepuk peha suami untuk suami mengelak tetapi mungkin ketika itu malaikat maut sudah menanti setia di sisinya.

"Hentaman kuat itu mengakibatkan hati suami pecah selain paru-parunya parah tertusuk tulang rusuk. Doktor juga sempat mengeluarkan darah beku sebanyak dua kilo dari perutnya. Saya pula alami lima kecederaan termasuk patah kedua belah tangan, patah tulang bahu selain patah tulang pinggul. Lebih sebulan saya dirawat di hospital dan terlantar di katil berbulan lamanya.

Paling tidak dilupakan, semasa menghantar anak ke asrama, suami, suami sempat memeluk  anaknya dan berpesan belajar baik-baik. Memang sedih kerana suami meninggal akibat kecuaian orang lain," kata ibu kepada empat anak ini.